Asas Aurat
Asas Aurat
Islam telah menetapkan garis panduan aurat bagi lelaki dan wanita. Aurat asas bagi lelaki adalah dengan menutup antara pusat dengan lutut , manakala aurat asas bagi wanita pula adalah dengan menutup seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan.
Aurat lelaki pada bila-bila masa dan ketika bersama sesiapa pun adalah sama iaitu perlu menutup antara lutut dengan pusat. Namun lelaki wajib menjaga auratnya dan menundukkan pandangannya dari melihat aurat wanita ia sebagaimana difirmankan oleh Allah s.w.t dalam Surah An Nuur ayat 30 :
قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ
Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan. (Surah An Nuur : Ayat 30)
Namun bagi wanita terdapat perbezaan dalam beberapa keadaan antaranya :
1. Aurat Ketika Sembahyang – Aurat wanita ketika sembahyang adalah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.
2. Aurat Ketika Sendirian – Aurat wanita ketika mereka bersendirian adalah bahagian anggota pusat dan lutut. Ini bererti bahagian tubuh yang tidak boleh dilihat antara pusat dan lutut.
3. Aurat Ketika Bersama Mahram – Pada asasnya aurat seseorang wanita dengan mahramnya adalah antara pusat dan lutut. Walau pun begitu wanita dituntut agar menutup mana-mana bahagian tubuh badan yang boleh menaikkan syahwat lelaki walaupun pada mahram sendiri dan digalakkan memakai pakaian yang lengkap dan labuh untuk menjaga tatasusila dan mengelakkan sumbang mahram berlaku.
4.Aurat Ketika Di Hadapan Lelaki Bukan Mahram – Kewajipan menutup aurat dihadapan lelaki bukan mahram adalah amat penting dan perlu dilaksanakan oleh setiap wanita, bagi mengelak berlaku fitnah dan perkara yang tidak diingini seperti rogol dan sebagainya. Perkara ini terjadi disebabkan nafsu para lelaki terangsang akibat dari penglihatan mereka terhadap wanita yang memakai pakaian yang tidak senonoh dan mendedahkan sebahagian tubuh badan mereka. Wanita yang bersuami pula, ianya turut wajib menutup aurat yang mana dosa seorang isteri yang membuka aurat akan ditanggung oleh suami.
5. Aurat Ketika Di Hadapan Wanita Kafir – Aurat wanita apabila berhadapan atau bergaul dengan wanita bukan islam adalah tutup keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan.
Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud : Abdullah bin Abbas ada menyatakan, Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya : ” Tidak halal kaum wanita Islam itu dilihat oleh kaum Yahudi dan Nasrani”.
6. Aurat Ketika Bersama Suami – Apabila seorang isteri bersama-sama dengan suaminya di tempat yang terlindung dari pandangan orang lain, maka islam telah memberi kelonggaran dengan tiada membataskan aurat pada suaminya. Ini bermaksud suami dan isteri tiada sebarang batasan aurat terhadap mereka berdua. Isteri boleh mendedahkan seluruh anggota badannya bila berhadapan dengan suaminya , ia bersandarkan hadith :
Mu’awiyah bin Haidah mengatakan : “Aku pernah bertanya : Ya rasulullah , bagaimanakah aurat kami, apakah boleh dilihat oleh orang lain?”. Baginda menjawab :”Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba abdi milikmu”. Aku bertanya lagi :” Ya rasulullah , bagaimanakah kalau ramai orang mandi bercampur-baur di satu tempat? ” Baginda menjawab : “Berusahalah seboleh mungkin agar engkau tidak melihat auratmu”. Aku masih bertanya lagi: ” Ya rasulullah, bagaimanakah kalau orang mandi sendirian?” Baginda menjawab : ” Seharuslah ia lebih malu kepada allah daripada malu kepada orang lain”. (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)


Comments
Post a Comment